Masjid Abu Bakar bukan sahaja terkenal kerana seni binanya
yang menarik tetapi juga kedudukannya di pinggir Selat Tebrau dan kedewasaan
usianya. Walaupun kini usianya telah melebihi 100 tahun namun keaslian bentuk
seni binanya tetap tidak berubah dan sentiasa teguh berbanding dengan bangunan
Istana Besar yang berhampiran dengannya yang telah pun diubahsuaikan.
Masjid ini mula dibina pada tahun 1893. Upacara perletakan
batu asas Masjid Abu Bakar telah disempurnakan pada 1 Muharram 1310 Hijrah
bersamaan 26 Julai 1892 Masehi dan siap sepenuhnya pada tahun 1900. Jurutera
yang bertanggungjawab ke atas pembinaan masjid ini ialah YB Dato' Yahya
Awaluddin. Manakala pelukis pelan dan kerja-kerja pembangunan masjid oleh Tuan
Haji Mohamad Arif bin Punak.
Masjid yang menelan belanja sebanyak RM 400,000 ini telah
dibuka dengan rasmi oleh DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan
diberi nama Masjid Abu Bakar mengambil sempena nama ayahanda baginda Almarhum
Sultan Abu Bakar yang menitahkan pembinaan masjid ini.
Masjid Abu Bakar ini mula digunakan buat pertama kalinya pada
hari Jumaat 1 Syawal 1317 Hijrah bersamaan 2 Februari 1900 Masehi untuk
Sembahyang Jumaat. Masjid ini dapat menampung lebih 2500 orang jemaah bagi
satu-satu waktu. Masjid yang masih teguh dan digunakan sehingga kini ini
mempunyai ciri-ciri rekabentuk masjid-masjid di Asia Barat. Masjid Abu Bakar
mempunyai menara dua tingkat iaitu bulat di bahagian atas dan empat segi di
bahagian bawah serta berkubah.
Empat buah menara berkubah masjid ini juga dihiasi dengan
lampu-lampu yang diimport dari Turki serta ukiran-ukiran yang menarik pada
tiang-tiangnya khasnya pada mimbar tempat khatib membaca khutbah. Manakala batu
marmar yang menghiasi masjid juga diimport dari Itali dan tempat bara dari
Negeri China. Ukiran-ukiran yang terdapat di masjid ini dikatakan ada
persamaannya dengan ukiran-ukiran yang terdapat di Masjid Sultan Hassan, Mesir
dan juga Masjid Imam Shafie.
Selain itu, ruang beranda juga disediakan untuk
pelawat-pelawat yang ingin melihat di sekeliling masjid dan untuk para jemaah
beristirehat. Bagi tujuan menjaga kebersihan masjid, tempat mengambil wuduk
dikhususkan di bahagian bawah masjid. Di sebelah tempat mengambil wuduk ini
disediakan satu ambin untuk para pelawat atau musafir beristirehat. Satu lagi
keistimewaan masjid ini ialah suasananya yang sejuk dan nyaman sepanjang masa
walaupun ketika musim panas, ini disebabkan kedudukannya di atas bukit.
Kini masjid yang hampir mencapai usia melebihi 100 tahun ini
tetap setia mengabadikan diri kepada penduduk-penduduk bandar Johor Bahru dan
sentiasa mengajak orang ramai mengingati Tuhan menerusi azan yang berkumandang
dari puncak menaranya pada setiap kali masuknya waktu solat.
Sumber – Arkib Negara


No comments:
Post a Comment